29 Oct 2011

30) PEPERANGAN DI KAWASAN SUNGAI FURAT (IRAQ) KERANA MEREBUT KEKAYAAN.


Daripada Abu Hurairah R.A., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda; 'Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di lraq) menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk merebutkannya.  Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata, "mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu".  Di dalam riwayat lain ada disebutkan; "Sudah dekat suata masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu".


(H.R.Bukhari Muslim)



Keterangan:

Hadis ini jelas sekali menerangkan bahawa di kawasan Iraq dan di sekitarnya akan berkobar peperangan yang berpunca dari merebutkan kekayaan yang ada di sana dan ramai yang terkorban dan masing-masing pihak bercita-cita seandainya merekalah yang terselamat.

31) KETIADAAN IMAM UNTUK SEMBAHYANG BERJEMAAH.

Daripada Salamah binti al-Hurr R.A berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; "Lagi akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa. Mereka tidak dapat memulakan sembahyang berjamaah kerana tidak mendapatkan orang yang boleh menjadi imam".


(H.R. Ibnu Majah)




Keterangan:

Walaupun secara pastinya pada hari ini kita belum lagi sampai ke peringkat apa-apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW, namun masyarakat kita sekarang ini sudah menghala ke sana. Banyak kampung-karnpung yang tidak mempunyai Tok Imam yang benar-benar mampu melaksanakan peranan Imam yang sebenar. Kelihatannya, masyarakat kita kekurangan kepada ilmu-ilmu syariat. Mereka yang berilmu pula ramai yang tidak menghadiri sembahyang berjemaah, maka tinggallah orang-orang yang jahil. Maka apabila hal ini berpanjangan, pasti pada suatu hari nanti akan sampai juga ke peringkat keadaan yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW tadi.

32) ULAMA TIDAK DIPEDULIKAN.

Dari Sahl bin Saad as-Saaidi R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda; 'Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-­mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)." 

(H.R Ahmad)


Keterangan:

Mungkin muktahir ini sudah mendekati keadaan yang telah digambarkan oleh Rasulullah SAW ini. Masyarakat sudah agak jauh dari para ulama. Mereka takut mendekati para ulama, kerana khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Orang tidak segan lagi membuat maksiat walaupun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. Terkadang, sengaja perkara maksiat itu dibuat di hadapan para Ulama untuk menyatakan rasa ego dan sekaligus untuk menyinggung perasaan mereka. Golongan ini juga pandai bercakap dan sering memutarbelitkan kenyataan. Percakapan mereka begitu halus dan memikat orang lain pada hal hati mereka adalah hati harimau yang bersedia untuk menerkam dan memangsa musuhnya.

33) ISLAM NAMA SAHAJA.

Daripada Ali bin Abi Thalib R.A berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW, "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tiada tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali".


(H.R Al-Baihaqi)



Keterangan:
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su' yang menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari semasa ke semasa.

34) AL QURAN AKAN HILANG DAN ILMU AKAN DIANGKAT.

Daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda; "Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apakah yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan Al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walaupun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, "Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimah "La ilaha illallah", lalu kami pun mengatakannya juga". Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada Huzaifah), "Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, ibadah, dan sedekah"? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya). Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, "Kalimah itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka" (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali).


(H.R. Ibnu Majah)

Keterangan:

Hadis di atas tadi menerangkan kepada kita bahawa pada suatu masa nanti akan terjadi:
  1. Ilmu tentang Islam akan diangkat.

  2. Al-Quran juga akan diangkat daripada permukaan bumi ini.

  3. Orang ramai hanyalah mengenali beberapa istilah Islam, tetapi mereka tidak memahami apa-apa yang dimaksudkan dengan istilah-istilah itu.

  4. Begitu pula mereka hanya sekadar mampu mengucapkan kalimah "Lailaha illallah", tetapi mereka tidak memahami apa tuntutan kalimah suci itu terhadap mereka. 
Walaubagaimanapun Allah SWT dengan belas kasihannya masih menghargai keimanan mereka yang sedikit itu dan akan memasukkan mereka ke dalam syurga.

35) LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA.


Daripada  Ali bin Abi Thalib R.A  pernah mendengar Rasulullah SAW Bersabda: “ Apabila umatku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka.

Antara lima belas perkara tersebut adalah:


1.      Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2.     Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3.     Zakat dijadikan hutang.

4.     Suami memperturutkan kehendak isteri.

5.     Anak derhaka terhadap ibunya.

6.     Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.

7.     Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

8.     Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9.     Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.

12. Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki.

13. Para artis-artis disanjung-sanjung.

14. Muzik banyak dimainkan.

15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".

(H.R TERMIZI)



Keterangan:

Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah SAW ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.

36) LIMA BALASAN YANG DISEGERAKAN BALASANNYA.

Daripada  Ali bin Abi Thalib R.A  pernah mendengar Rasulullah SAW Bersabda: “ Apabila umatku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka.

Antara lima belas perkara adalah:


1.      Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2.     Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
3.     Zakat dijadikan hutang.
4.     Suami memperturutkan kehendak isteri.
5.     Anak derhaka terhadap ibunya,
6.     Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
7.     Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
8.     Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
9.     Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
12. Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki.
13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
14. Muzik banyak dimainkan.
15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".

(H.R TERMIZI)


Keterangan:

Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah SAW ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.